Total Pageviews

Monday, 16 September 2019




Pengurusan Masa
Disediakan oleh: Muhammad Nur Hakim bin Ibrahim
Apa yang dapat diringkaskan, kemahiran mengurus masa juga terlibat dalam perancangan jadual belajar. Namun begitu, anda mestilah mahir dalam penggunaan masa. Setiap pelajar mestilah mempunyai kemahiran dalam menguruskan masa untuk belajar, beriadah dan sebagainya. Pelajar seharusnya untuk mengingati sesuatu perkara dalam jangka masa yang panjang.

Setiap manusia amnya dan umat Islam khasnya diwajibkan mengurus dan menggunakan masa dengan cara yang paling sempurna, optimum dan berkesan. Pelajar mestilah mahir dalam menguruskan waktu. Rahsia kejayaan seorang pelajar yang berpencapaian tinggi adalah mempunyai pengurusan masa dengan cekap yang membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dengan jayanya (Khalid Mohamed Noor, 2002).
Pengurusan masa dapat didefinisikan sebagai kemampuan untuk merancang dan mengawal penggunaan masa kita dalam sehari dengan cara yang efektif untuk mencapai matlamat kita. Penggunaan masa yang efektif bermaksud cara kita merancang masa dengan lebih berkesan dan mendatangkan keuntungan kepada kita. Setiap pelajar mempunyai matlamat hidup sendiri untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan kelak. Namun begitu, terdapat cara membawa kita mencapai kejayaan yang diimpikan. Pengurusan masa merupakan salah satu kaedah kejayaan seseorang pelajar.

Cara dan teknik menguruskan masa belajar mestilah diketahui oleh setiap pelajar. Membuat jadual waktu merupakan cara yang boleh dilaksanakan bagi menguruskan masa dengan cara yang efisien. Namun begitu, jadual waktu ini bukanlah jadual waktu mingguan yang tetap seperti yang disediakan dan boleh dipunyai oleh kebanyakan pelajar hari ini. Ia merupakan satu senarai aktiviti yang perlu anda lakukan untuk hari itu atau hari esok. Tetapi perlu diingatkan bahawa terdapat kelemahan dalam mempunyai jadual waktu mingguan yang tetap sebagai mana yang dipunyai oleh kebanyakan pelajar hari ini adalah terlalu sukar untuk melaksanakannya disebabkan keadaan masa yang tidak menentu dan mengabaikan aktiviti penting semasa.






Terdapat beberapa cara dalam menguruskan masa dengan lebih efisien. Antaranya ialah mengenal pasti kelebihan dan kelemahan di dalam diri. Seperti yang kita ketahui, manusia dilahirkan dalam sifat yang berbeza. Terdapat sesetengah pelajar mampu untuk belajar pada lewat malam kerana tidak mengantuk pada awal malam manakala segelintir pelajar yang bangun awal pagi untuk pelajar kerana mereka anggap minda pada waktu tersebut lebih segar. Oleh itu, kenal pasti dulu diri kita sebagai pelajar, di mana kekuatan dan kelemahan kita.

Seterusnya, kita mestilah menjimatkan masa dalam mengulang kaji dengan memberikan fokus sepenuhnya. Fokus sentiasa menjadi kunci untuk mendapatkan hasil yang sempurna dan terbaik. Sekiranya kita tidak fokus sepenuhnya, lebihan masa akan digunakan untuk memahami atau menghafal sesuatu perkara. Untuk mengelakkan daripada tidak fokus dalam pembelajaran, kita hendaklah mengelak daripada perkara yang boleh menghalang tumpuan kita seperti tidak bermain telefon pintar mahupun berbual dengan seseorang.




Konklusinya, pengurusan masa merupakan perkara yang perlu diambil berat dalam mencapai kejayaan dengan sempurna. Tanpa pengurusan masa dengan betul, seseorang pelajar akan menghadapi masalah yang besar dalam perancangannya melakukan sesuatu aktiviti di samping akan mengganggu masa pembelajarannya. Oleh itu, kita sebagai pelajar mestilah mempunyai jadual waktu sendiri supaya masa yang kita ada tidak dibazirkan dengan melakukan perkara yang sia-sia.

Rujukan 


Buku

Ahmad Subki Miskon, Aliza Adnan, Syed Ismail Syed Mustapa. Kemahiran Belajar. Penerbitan Multimedia

Internet 
Tiada nama (2018). Pengurusan Masa. Diakses pada 28 Ogos 2019 daripada https://pengurusanmasasesidisember2017.blogspot.com/2018/02/definisi-pengurusan-masa.html





PENGURUSAN PEMBELAJARAN




Strategi Meningkatkan Ingatan
Oleh: Darushiny Thiyagarajan
Setiap insan yang dilahirkan di dunia ini ialah ciptaan Tuhan. Tuhan menganugerahi manusia dengan otak dan minda yang begitu bernilai. Cuba fikir sejenak. Adakah warna iris mata semua manusia sama? Tidak. Begitulah juga dengan daya ingatan. Hanya beberapa peratus manusia sahaja menguasai kemahiran ini. Sebelum mendalami strategi ini, apakah maksud sebenar ingatan?  Ingatan bermaksud keupayaan memanggil balik atau menyebut dan menulis fakta atau sesuatu selepas beberapa lama.

Dasawarsa ini, ramai pelajar mengalami kesukaran dalam membina daya ingatan yang kuat.  Otak dan minda memainkan peranan signifikan dalam mengukuhkan daya ingatan pelajar. Daya ingatanlah yang menentukan kecemerlangan seseorang individu dalam peperiksaan. Individu yang memiliki mental dan fizikal yang sihat serta mampu mengekalkan maklumat yang diperoleh dalam proses pengajaran dan pembelajaran sahaja dikenali sebagai daya ingatan yang kuat. Bukan sebegitu mudah untuk mengingat sesuatu perkara. Ia melibatkan proses yang agak rumit. Ingatan ini dianggap sebagai salah satu keperluan asas manusia. Sekiranya, manusia gagal untuk mengingat, mereka terpaksa berhadapan dengan pebagai situasi yang kronik. Mari kita melihat ingatan manusia secara mendalam.

Marcapada itu. ingatan manusia digolongkan kepada dua bahagian iaitu ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang. Ingatan jangka pendek merujuk kepada berapa banyak item atau data disimpan dalam satu masa setakat mana seseorang dapat memberi penumpuan secara sedar dalam masa pendek. Menurut kajian, maklumat yang disimpan boleh hilang dalam masa kurang daripada 30 saat. Tamsilnya, murid mengalami kesukaran untuk mengafal banyak nombor dalam tempoh masa yang sama. Latihan yang efektif serta mengulangi maklumat yang diterima beberapa kali mampu mengatasi masalah kadar lupaan kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Dengan ini, kita dapat mengekalkan ingatan jangka pendek dan dapat memindahkan maklumat daripada ingatan jangka pendek kepada ingatan jangka panjang. Sebagaimana yang kita ketahui, kadar luput bagi ingatan jangka panjang lebih lama berbanding ingatan jangka pendek. Peringkat ini berperanan untuk menahan sesuatu maklumat pada jangka masa yang panjang. Jelaslah di sini bahawa ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang mempunyai peranannya tersendiri.

Setiap pelajar rajin belajar tetapi tetap tidak dapat mencapai matlamat yang diingini dalam peperiksaan. Adakah sebab mereka terlalu cuai semasa menjawab soalan peperiksaan? Tidak. Pada hemat saya, mereka belum mengetahui bagaimana untuk belajar dengan cara yang bijak dan betul. Belajar bukan semata-mata membaca buku tetapi belajar merangkumi aspek mencari, menyimpan, memproses, dan menghasilkan kembali maklumat yang diperoleh daripada aktiviti belajar. Terdapat pelbagai teknik mengingat untuk meningkatkan mutu pembelajaran. Antaranya, ialah mnemonik. Mnemonik merupakan perkataan Greek yang bermaksud berfikir dan mengingati sesuatu yang kita pelajari. Alat yang berfaedah ini membantu mengingati nombor telefon, nama kawan-kawan dan tarikh penting dalam sejarah. Kata kunci di sini adalah minat dan ulangan. Mnemonik ini terbahagi kepada empat teknik.
  
Antaranya, mnemonik kata gentian, mnemonik anekdot, mnemonik lokasi dan mnemonik rantaian. Secara ringkasnya, teknik kata gentian  ini boleh diaplikasikan kepada perkara abstrak yang sukar diingat. Bagi memudahkan kefahaman, ia melibatkan sesuatu imej untuk menggantikan sesuatu maklumat  supaya mudah diingati. Misalnya, setiap bakal guru pada peringkat Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) wajib mengambil subjek Cabaran dan Isu Semasa Dunia. Subjek ini meliputi banyak fakta dan kronologi. Oleh itu, saya menggantikan kronologi tersebut dengan imej supaya mudah memahami.

Mnemonik anekdot pula membawa konotasi sebagai mengingat maklumat yang panjang dengan menghubung kait kata kuncinya ke dalam sebuah bentuk cerita pendek yang lucu. Sebenarnya, penguasaan teknik ini bergantung kepada daya kreativiti seseorang, selagi seseorang itu berfikiran kreatif selagi individu tersebut mampu mereka sesebuah cerita yang seronok melalui kata kunci. Minda kita mempunyai suatu keistimewaan di mana mudah mengingat sesuatu fakta apabila bunyi perkataan tersebut menarik. Umpamanya, saya mengambil diri saya sebagai contoh. Dalam subjek Kemahiran Berfikir terdapat gaya pembelajaran kendiri. Antaranya, gaya pembelajaran Dunn & Dunn yang merangkumi lima unsur. Saya mengingati lima unsur ini dengan cerita saya sendiri iaitu Pak Kaduk-Persekitaran, Enggan-Emosi, Sapa-Sosiologi, Faiza kerana giginya-Fizikal dan Patah- Psikologi.

Malah, mnemonik lokasi dikenali sebagai kaedah tempat di mana ia merupakan cantuman daripada dua unsur, iaitu tempat dan imej. Tamsilnya, di sini saya berkongsi cara saya mengingat susun lapis masyarakat Adat Perpatih yang terdapat dalam subjek Kebudayaan Melayu. Huraiannya, pagar rumah saya dianggap sebagai negeri. Pintu utama pula dibayangkan sebagai daerah. Setelah memasuki pintu utama terdapat ruang tamu yang saya anggap sebagai suku. Bilik tidur digantikan dengan perut dan tempat makan pula dijadikan sebagai keluarga. Peringkat terakhir iaitu keluarga asas dibayangkan sebagi bilik tidur saya. Teknik terakhir bagi mnemonik ialah mnemonik rantaian iaitu mengingati senarai yang panjang dengan menggunakan G A M B A R A N. Justifikasinya, sebuah kapal yang berbentuk sabun dan sayapnya seperti selimut sedang  terbang di atas awan, ketika seorang penumpang sedang menggosok giginya dengan berus gigi sambil memakai selimut di dalam kapal terbang seterusnya bulan pula memberikan cahaya dengan menggunakan lampu suluh.  Di sini, saya dapat mengingat barang-barang yang perlu disediakan ketika perkhemahan seperti bantal, selimut, berus gigi, sabun dan lampu suluh.

Justeru itu, lokus bermakna tempat. Modus operandinya, saya pergi ke kuil menggambarkan kepercayaan kepada Tuhan dan di situ terdapat gambar Raja-Raja di mana menunjukkan kesetiaan kepada raja dan negara serta dalam gambar tersebut Raja sedang memegang cogan alam menggambarkan keluhuran perlembagaan. Sehubungan itu, terdapat peraturan-peraturan yang perlu diamalkan sebelum memasuki kuil, mendidik kita tentang kedaulatan undang-undang dan akhirnya kesopanan dan kesusilaan diadaptasi melalui pemakaian dan perbualan penganut antara satu sama lain. Akhirnya, teknik chunking bermaksud melakukan pemecahan kepada kumpulan. Umpamanya, pantun bukan senang untuk menghafal. Jadi, saya mengaplikasikan irama lagu rasa sayang untuk mengingat pantun. Hal ini kerana irama lagu ini tidak membosankan dan mudah menarik perhatian kita.

Walhasil, teknik-teknik efektif ini membantu mengingat kembali perkara-perkara penting yang telah dibaca. Teknik ini menjadi batu loncatan untuk melatih minda dan mendorong untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Realitinya, teknik  menghafal sesuatu bergantung kepada diri seseorang. Jika kita menumpukan fokus yang sepenuh terhadap teknik yang dipilih, sudah tentu dapat ingat pelajaran. Tegasnya, teknik mnemonik, lokus dan chunking membantu melahirkan pelajar yang mampu menguasai daya ingatan yang tinggi.


Rujukan

Buku

Syed Ismail Syed Mustapa., Ahmad Subki Miskon. & Alizan Adnan. (2014).
 Kemahiran Belajar (Ed. Ke-2). Selangor ; Penerbitan Multimedia.

Internet